Friday, 17 October 2014

Kita Semua Mujahidin

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang sudi membaca.
Untuk makluman, kini saya tengah bercuti untuk semester 1 dan kepada kawan kawan yang sedang bercuti, tidak terlewat kiranya untuk saya mengucapkan selamat bercuti.Mudah mudahan cuti ini diisi dengan perkara yang bermanfaat dan memberi manfaat kepada orang lain.InsyaALLAH.

Entry kali ini rasanya amat berat untuk saya olah kerana kedangkalan ilmu saya umpama sebiji pasir di daratan dan lautan di muka bumi ini, mungkin lebih kecil.Saya hanya pelajar Sains Kesihatan bukan aliran agama seperti fiqh , usuluddin mahupun tamadun Islam. Saya mohon kepada ustaz atau ustazah atau orang yang berilmu menegur saya secara direct seandainya ada percangahan pada entry kali ini.
Sejak akhir akhir ini, ISIS atau ISIL (Islamic State of Iraq and Levant) ataupun namanya dalam bahasa Melayu Daulah Islamiyyah Negara Islam semakin kedengaran dari penjuru media.Saya pun belum pasti apakah maklumat yang disampaikan media ini benar mahupun palsu ataupun mempunyai agenda yang tersendiri.Saya juga tidak pasti apakah Isis ini berada pada jalan yang benar atau militan yang sesat lagi melampau? Bak kata peribahasa Melayu ditelan mati emak, diluah mati bapak.

‘‘Ya Allah , tunjukkanlah kami itu benar seandainya itu benar dan tunjukkanlah itu batil seandainya itu batil’’.

Fitnah akhir zaman.
Berbalik kepada apa yang saya ingin sampaikan,apa itu Jihad? Berdasarkan pengetahuan dan pendapat saya,jihad itu tidak hanya terhenti berjuang di medan peperangan.Apatah lagi mengatakan kini jihad sudah tiada. Jihad tetap ada! Hakikatnya skop jihad itu lebih luas dari kancah peperangan. Jauh lebih luas.
Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan para sahabat yang baru sahaja pulang dari medan perang.
“ Sesungguhnya kamu pulang dari jihad kecil menuju kepada jihad yang lebih besar
“apakah jihad yang lebih besar wahai Rasulullah ?” Tanya para sahabat.
“Jihad melawan hawa nafsu(diri sendiri)” Jawab Rasulullah.
(Riwayat Dailami)
Benar,berjihad mempertahankan Negara daripada musuh adalah satu tuntutan yang wajib.Namun berjihad bermati-matian melawan tentera hawa nafsu dan syaitan lebih utama.
Tentera islam yang suatu masa dahulu pernah menang berjihad di Medan Badar sebenarnya sudah menang berjihad menentang hawa nafsu mereka.Bermula dengan jihad yang besar (menangani nafsu) inilah mereka berani turun dalam jihad yang kecil(medan perang).Masyarakat kita kini tidak,lidah berbicara jihad, tapi subuh entah ke mana.Saya tidak berkata kepada sesiapa,saya berkata kepada diri saya sendiri.

Sekali semboyan Nabi dibunyikan, berduyun duyun para sahabat menyahutnya pergi berjuang. Inilah mujahid sejati.Pantang berundur sebelum berjuang.Generasi mujahid yang dididik Rasulullah S.A.W ini begitu berbeza.Kental dalaman dan gagah luaran.Inilah rahsia kejayaan Islam dalam menyebarluaskan islam ke seluruh pelusuk dunia.
Saudara –saudari sekalian,kita semua adalah mujahid serta pewaris mujahid.
Nabi S.A.W bersabda, “orang yang berjihad ialah orang yang melawan hawa nafsunya’’.

(Riwayat Al Tirmizi)




Sungguh, kita semua ialah mujahid. Mujahid yang melawan hawa nafsu.Maka amat wajarlah semangat generasi mujahid yag dididik oleh Rasulullah ini meresap dalam jiwa setiap remaja Islam kini yang mana merupakan harapan agama, harapan Rasulullah , harapan negara bangsa dan harapan keluarga.Barulah tradisi kejayaan mereka mampu kita warisi dan kekalkan.
Justeru , sebelum bermimpi ingin berjihad di meda peperangan , mujahid perlu bersiap siaga.Andai sudah bersedia untuk mati syahid , pastikan juga tidak sesekali akan gugur diheret gelora hawa nafsu.Apatah lagi dalam era modenisasi dan dunia tanpa sempadan ini, setiap penjuru kita diserang dengan pelbagai serangan.Bukan sebarang serangan,tetapi serangan halus hedonism dan materialistik yang memberi ancamam yang berbahaya.
Allah S.W.T berfirman dalam surah Taubah ayat 122,

“Dan tidaklah(betul dan elok) orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang ) oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja sahaja dari tiap tiap puak di antara mereka, supaya(orang yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berperang) apabila orang itu kembali kepada mereka mudah mudahan mereka dapat berjaga jaga (daripada melakukan larangan Allah).


Sahabat yang dimuliakan sekalian, lapangan juang ini seluas dunia.Maka tidak wajarlah semua mukmin keluar untuk tujuan yang satu.Kita mesti memainkan peranan kita masing masing.Kita mesti berjihad menuntut ilmu. Kita juga boleh memainkan peranan jihad dengan cara dakwah.Bukan perang dengan senjata semata mata.Perjuangan kita semua belum selesai. Saya berjuang dengan cara ini iaitu dengan menulis.
Jihad ini luas. Antaranya:1. Jihad Ilmu. Kita semua penuntut ilmu ini ialah mujahid.

2. Jihad identiti. Dengan memakai pakaian sunnah dan mengikut syariat dan berakhlak mulia.Ini baru cool. Teringat saya akan seorang sahabat saya, beliau menghadiahkan sepasang jubah kepada saya. Subhanallah, baik sungguh hatinya.Beliau sentiasa dengan jubah dan serbannya serta akhlak yang baik.

3. Jihad dakwah.Misalnya melalui pena kita mampu ‘keluar’ berjihad menyebarkan islam. Banyak lagi cara dakwah jangan berfokuskan yang satu.

4. Jihad harta. Menginfakkan harta dengan jalan Allah.Oleh itu kita mesti menuntut ilmu bersungguh sungguh untuk menjadi orang yang hebat dan mampu berjihad dengan harta.

5. Jihad idea yang berinovatif .Kita memberi maanfaat dan kebaikan kepada ummah.Bayangkan jika seorang Saintis islam berjaya menemui teori untuk menyembuhkan suatu penyakit atau seorang Occupational Therapist yang menciptakan satu kaedah untuk membantu Orang Kelainan Upaya berdikari.Alangkah banyak manfaat yang boleh diberi kepada orang lain.Itu juga jihad.



Kini,kita sudah pun menjejakkan kaki di medan ini.Ingin berpatah balik itu bukan tradisi pejuang unggul.Aturkan langkah dan lengkapkan diri dengan senjata (persediaan ilmu).Genggamlah erat- erat maklamat memburu redha ALLAH.Ayuh, melangkahlah dengan berani. Jangan menoleh lagi, majulah ke hadapan.Kepada rakan seperjuangan Jurusan Pemulihan Cara Kerja(Occupational Therapy), kita juga adalah mujahid dengan cara kita tersendiri.Niatlah kerana Allah. SEMOGA PERJUANGAN KITA DIBERKATI ALLAH.

Wallahua’lam.

Mohammad Nasrullah Bin Alias
18 OKTOBER 2014

No comments:

Post a Comment