Saturday, 12 July 2014

PENYAKIT MENTAL .......KATEGORI CIRI CIRI DAN CONTOH

Penyakit mental adalah istilah umum yang merujuk kepada sekumpulan penyakit-penyakit mental. Seseorang yang mendapat penyakit mental mengalami gangguan fungsi mentalnya. Penyakit mental boleh berbeza dari segi tahap keterukannya, jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian. Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulang-ulang di sepanjang hayat seseorang. Kebanyakan pengidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan.
Akibat dari salah faham mengenai penyakit mental, pesakit dan keluarga mereka kadang-kadang dicemuh dan disisih dalam masyarakat.
Pada umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada dua kumpulan ;
-Penyakit-penyakit psikosis.
-Penyakit-penyakit bukan-psikosis





-Penyakit Psikosis
Pada tahap teruk, seseorang yang mengalami penyakit mental psikosis mungkin kehilangan hubungan dengan alam nyata. Kebolehan seseorang memahami pemikiran dan perasaannya serta rangsangan dari luar terganggu di tahap teruk ini. Mereka merasai persekitarannya berbeza dengan orang yang normal. Apa yang mereka lihat, dengar dan rasai sebagai sesuatu yang benar tetapi tidak dialami oleh orang di sekitarnya. Pesakit mungkin bertindak di atas apa yang dialami dan tingkahlakunya mungkin kelihatan “luar biasa”. Orang-orang yang tidak biasa dengan tingkahlaku dan pengalaman mereka mungkin sukar memahami akan kekeliruan dan ketakutan pesakit psikosis dan melihatnya sebagai sesuatu yang menakutkan.
Pada masa dahulu pesakit mental psikosis diasingkan dan dipisahkan dari masyarakat. Tetapi, pada hari ini, dengan adanya rawatan dan ubatan yang berkesan, kebanyakan mereka dapat menjalani kehidupan yang produktif dan bermakna.
Diantara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah skizofrenia dan psikosis manik depresif.

-Penyakit-penyakit Bukan Psikosis
Mungkin kita pernah mengalami perasaan sedih, resah dan tertekan. Pengalaman ini merupakan pengalaman biasa dalam kehidupan kita. Apabila perasaan biasa ini dan tingkahlaku tertentu berlaku secara berlebihan, tidak terkawal dan berlarutan sehingga mengganggu kehidupan seseorang dalam menjalani aktiviti harian, hubungan dengan orang lain dan keupayaan seseorang untuk menikmati keseronokan hidup, ia mungkin mengalami salah satu penyakit mental jenis bukan psikosis (neurosis).
Di antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah fobik (ketakutan yang tidak berasas), keresahan (anxiety), kemurungan (depression) dan obsessif kompulsif.

ANTARA CONTOH NAMA PENYAKIT IALAH SCHIZOPHRENIA


No comments:

Post a Comment